DARI MEJA WANITA

Wanita UMNO sasar 30% calon adalah ahli Wanita

IMG_7000

SEGAMAT 27 Feb. – Pergerakan Wanita UMNO menyasarkan sebanyak 30 peratus ahlinya yang berkelayakan dipilih menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, berdasarkan situasi semasa, beliau percaya berlaku peningkatan calon daripada golo­ngan wanita sama ada untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-14.

“Sekarang ini, kita hanya ada 10.8 peratus wakil rakyat wanita dalam Parlimen, manakala DUN pula 10.2 peratus dan perlu ada peningkatan supaya suara golongan wanita di negara ini dapat didengari.

“Selain itu, kita juga menerima maklum balas yang baik daripada pengundi apabila kita meletakkan calon wanita seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Sarawak baru-baru ini,” katanya selepas menghadiri Program Kembara Wanita UMNO di Balai Raya Kampung Bukit Tunggal, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain; Ketua UMNO Bahagian Segamat, Zahari Sarip dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Puspa Hairani Hassan.

IMG_6469

Shahrizat berkata, kerja dan program turun padang yang dilakukan oleh Wanita UMNO bukan bermusim, sebaliknya secara berkala kerana pergerakan itu merupakan tulang belakang kepada UMNO.

“Apabila menjadi tulang belakang, takrifannya adalah mesti stabil dan ini termasuk sokongan kepada pemimpin, parti dan keahlian yang menjadi fokus utama kami termasuk di peringkat akar umbi.

“Kerja-kerja untuk mendekati pengundi dan rakyat juga sudah dilakukan sejak dahulu dan kita akan memperkasakan usaha tersebut sehingga PRU-14 akan datang,” katanya.

 

Sumber – Utusan Online

Scroll To Top