DARI MEJA WANITA

Suri rumah tawan gunung pakai skirt

image (2)

SUCRE, BOLIVIA 10 Mei – Tanpa perlu pakaian lengkap seperti pendaki gunung profesional, sekumpulan suri rumah Bolivia berusia antara 42 dan 50 tahun berjaya menawan empat gunung tertinggi di negara ini, dengan hanya memakai skirt dan pakaian tradisio­nal yang dipanggil ‘cholita pacenas’ yang berwarna warni.

Meskipun kelihatan seperti sekumpulan nenek, mereka serius dalam usaha untuk menawan gunung, malah setiap kali berjaya mendaki sehingga ke puncak, mereka berazam untuk menawan gunung lain yang lebih tinggi.

Menurut laporan porta Oddity­ Central, wanita suku kaum Aymara di pergunungan Andes lazimnya hanya duduk di rumah atau ditugaskan untuk memasak di kem atau mengangkut barangan semasa suami masing-masing bertugas sebagai malim gunung.

Semuanya bermula beberapa tahun lalu, apabila Lydia Huayllas, isteri kepada seorang malim gunung ingin merasai pengalaman mendaki cerun glasier di Gunung Huayna Potosi yang mempunyai ketinggian 6,088 meter.

Pertanyaan wanita itu kepada suaminya, Eulalio Gonzalez tentang perasaan ketika berada di puncak gunung dibalas dengan cabaran untuk Huallyas mendaki sendiri gunung itu bagi merasai pengalaman berkenaan.

Huallyas bersama 15 wanita kemudian nekad mendaki gunung tersebut dengan memakai but, pakaian tradisional serta berbekalkan beberapa peralatan mendaki se­perti tali, tali keselamatan dan kapak ais.

Mereka menghadapi cabaran yang sukar berikutan udara yang semakin menipis, namun berjaya menawan gunung itu dan kejayaan tersebut menjadikan mereka bersemangat untuk menawan gunung-gunung yang lain.

Dora Magueno yang berusia 50 tahun berkata, ketika sampai di puncak gunung itu dia menangis kegembiraan, namun berasa kuat dan berazam untuk berada di puncak lapan gunung yang lain.

Selepas Huayna Potosi, kumpulan wanita itu kemudian menawan Gunung Parincota (6,347.7 meter), Gunung Pomarape (6,282 meter) dan Gunung Illimani (6,438 meter).

Sumber : Utusan Online

Scroll To Top