DARI MEJA WANITA

Sejarah Wanita UMNO

Sejak sebelum merdeka, ketika terutama semangat orang Melayu meluap-luap menentang pertubuhan Malayan Union, peranan yang dimainkan oleh kaum wanita ketika itu sangat besar.

Walaupun pada ketika itu, bilangan wanita Melayu yang mendapat pendidikan secara formal sangat sedikit tetapi mereka mampu menjadi satu kuasa gelombang kepada perubahan pemerintahan.

Ahli parlimen British, Sir Theodore Adams yang ditugaskan memantau penentangan Malayan Union, pernah berkata:

“Telah mencatatkan bahawa di bandar-bandar, terdapat demonstrasi yang mana 5,000 hingga 10,000 orang berdiri dihadapan kami. Tetapi yang paling menakjubkan ialah peranan yang telah dimainkan oleh kaum wanita dalam pergerakan kebangsaan yang hebat ini.” Dalam tempoh 14 tahun saya tinggal di malaya,saya jarang sekali bercakap dengan wanita Melayu. Tapi hari ini, mereka naik pentas politik dan membuat ucapan-ucapan, gadis-gadis yang belum berkahwin juga membuat ucapan-ucapan di mikrofon,”

Setiap kali menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, terbayang-bayang wajah ibu yang banyak berjasa untuk sama-sama menegakkan hak-hak wanita seperti yang dicapai sehingga kini.

Biarpun mereka itu pemimpin-pemimpin kerdil yang tidak pernak mendapat tempat dimana-mana jua pun, namun sokongan dan khidmat yang mereka berikan merupakan perintis jalan ke arah perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh wanita sekarang.

Sumbangan kaum ibu semasa perjuangan menuntut kemerdekaan bukannya sedikit. Malah menurut bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, semasa penentangan terhadap Malayan Union, kira-kira 10 tahun sebelum Tanah Melayu merdeka, kaum ibu turut keluar menyertai demonstrasi besar-besaran menentang rancangan pemerintahan Inggeris. Beliau pernah berkata:

“Peranan kaum ibu dan orang lelaki sama. Orang perempuan dah serik pengalaman pahit masa jepun. Orang perempuan kalau duduk sahaja di rumah, dia kan jadi macam katak bawah tempurung. Jadi bila dah habis perang, bila diajak keluar menentang Malayan Union, mereka keluar dengan keadaan susah-payah. Anak digendong, belanja sendiri, berjalan berbatu-batu jauhnya. Kaum wanita tidak ditinggalkan dalam perjuangan menutut kemerdekaan. Mereka adalah penyokong kuat kepada pemimpin lelaki,”

Malah ada sesetengah kaum ibu yang sangggup berpisah dengan barang-barang kemas mereka untuk disumbangkan kepada tabung bagi membiayai perjalanan Tunku Abdul Rahman Putra ke London untuk rundingan mendapatkan kemerdekaan.

Pergerakan kaum ibu UMNO lahir hasil daripada perbincangan yang berlaku tiga tahun sebelum penubuhannya pada 1949.

Dalam Mesyuarat Agung UMNO pada tahun 1946, tiga tokoh wanita UMNO iaitu Datin Putih Mariah Ibrahim Rashid yang mewakili Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman mewakili Persatuan Melayu Seberang Prai, dan Saleha Ali mewakili Persatuan Melayu Selangor telah bertemu dan melahirkan cita-cita untuk menubuhkan pergerakan kaum ibu.

Berikutan dengan perbincangan mereka sebuah Jabatan Kaum Ibu ditubuhkan di Ibu Pejabat UMNO.

Dalam persidangan parti pada awal tahun 1947, Putih Mariah Ibrahim Rashid telah dipilih untuk mengetuai Jabatan Kaum Ibu itu.
Dengan penubuhan Jabatan ini UMNO secara langsung mengikhtiraf peranan wanita dalam politik.

Setahun kemudian Jabatan Kaum Ibu diperbesarkan kepada sebuah Pejabat Setiausaha. Sehari sebelum penubuhan Pergerakan Kaum Ibu dengan rasminya pada 25 Ogos 1949, UMNO telah mengadakan satu Perhimpunan Agung Perwakilan Kaum Ibu Bahagian-bahagian UMNO di Butterworth dengan tujuan menubuhkan sebuah badan berkanun Kaum Ibu UMNO.

Persidangan ini memutuskan penubuhan badan yang dinamakan Ahli-ahli Perempuan UMNO dengan Putih Mariah dilantik sebagai ketua.

Pimpinan Putih Mariah tidak lama. Pada tahun 1950 Ibu Zain telah mengambil alih jawatan ketua.

Dalam tahun-tahun selepasnya, Ahli-ahli Perempuan UMNO telah melipat gandakan usaha-usahanya dengan menambahkan cawangan-cawangannya, ahli-ahli dan aktiviti-aktiviti parti.

Ibu Zain sendiri selaku seorang tokoh wanita yang aktif dan tidak boleh berdiam diri telah menjelajah ke seluruh negara untuk menarik penyertaan wanita Melayu dan membuat penerangan politik dalam gerakan ke arah kemerdekaan.

Beliau pernah menaiki lori dalam lawatannya ke merata-rata tempat di Johor kerana menyebarkan idea-idea kemerdekaan, dan di mana sahaja beliau berada terdapat bersamanya sekeping peta negara dan sehelai bendera UMNO.

Memandangkan ketika itu wujud perintah darurat dan musuh-musuh negara sedang mengganas bagi membentuk satu corak politik yang berdasarkan kekerasan, wanita tetap sanggup meneruskan perjuangannya secara aman dan berdasarkan sokongan ramai.

Antara bulan September 1953 dan Oktober 1954 wanita UMNO menghadapi satu masalah disebabkan tidak mempunyai seorang Ketua yang dipilih untuk meneruskan perjuangan politiknya.

Kejadian ini timbul daripada keengganan seorang ahli wanita kerabat Diraja untuk menerima pemilihannya sebagai ketua yang dibuat tanpa pengetahuan beliau.

Ibu pejabat UMNO dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja Agung UMNO telah melantik Khadijah Sidek menjadi Setiausaha Hal Ehwal Kaum Ibu UMNO dan Pegawai Penerangan Perempuan.

Segala perkara berkenaan dengan hal ehwal wanita diuruskan oleh Khadijah Sidek di bawah pentadbiran Pemangku Setiausaha Agung. Sebagai memenuhi tugas jawatannya, Khadijah telah melawat dan memberi penerangan kepada Bahagian-bahagian dan Cawangan-cawangan UMNO.

Penerangan-penerangan diberikan berkenaan dengan UMNO terutama tujuan perjuangannya, erti kemerdekaan dan pilihan raya.
Ahli-ahli Perempuan UMNO seluruhnya telah memberikan kerjasama kepada Bahagian-bahagian dalam usaha-usaha pilihan raya, aktiviti perarakan dan perhimpunan menunjukkan perasaan berhubung tuntutan pilihan raya persekutuan.

Sesetengah Cawangan Ahli-ahli Perempuan di Bahagian-bahagian UMNO menjalankan rancangan-rancangan kebajikan, memungut derma dan lain-lain usaha.

Berikutan dengan satu krisis dalam parti pada tahun 1956, Khadijah Sidek telah diberhentikan dan Fatimah Hashim telah memangku jawatannya atas persetujuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sementara menantikan Mesyuarat Agung yang berikut.

Dalam Mesyuarat Agung 1957, Fatimah Hashim telah dipilih menjadi ketua oleh Perwakilan Kaum Ibu UMNO dan jawatan itu dipegangnya hinggalah kepada tahun 1972, iaitu selama 15 tahun.

Kegiatan Kaum Ibu dalam tempoh jawatan Tan Sri Fatimah yang panjang itu menjadi sebahagian daripada kemajuan wanita UMNO.

Akibat peristiwa bulan Mei 1969 yang telah menggoncangkan asas perjalan negara menyebabkan lahirnya satu perimbangan baru dalam politik. Ahli-ahli UMNO sendiri merasakan satu perubahan perlu dalam parti.

Pada bulan Ogos, 1971 telah berlaku satu persidangan Agung Khas bagi mengatur semula cara perjuangan UMNO.

Perlembagaan UMNO dipinda yang antara lainnya menukarkan nama Pergerakan Kaum Ibu kepada Pergerakan Wanita UMNO supaya lebih dinamis dan menarik kepada semua lapisan wanita dengan tidak terhad kepada ibu-ibu sahaja.

Setahun kemudian berlaku pula perubahan pimpinan dalam Pergerakan Wanita di mana Aishah Ghani, Naib Ketua Kaum Ibu UMNO selama 12 tahun telah dipilih untuk menjadi ketuanya yang baru. Turut dipilih ialah tokoh-tokoh wanita baru yang terpelajar, yang melambangkan perubahan dalam corak pimpinan wanita kepada yang lebih berupaya menghadapi masalah-masalah moden.

Jawatan Ketua Wanita diambil alih oleh Tan Sri Rafidah Aziz pada tahun 1984. Di bawah kepimpinannya, Pergerakan Wanita UMNO lebih cergas menganjurkan kursus-kursus meningkatkan pengetahuan perniagaan dan pendekatan lebih profesional dalam pentadbiran parti mengikut sistem lebih teratur dan kemas kini. Suara wanita juga telah bertambah dengan ramai wanita dilantik atau terpilih dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Kepimpinan Rafidah Aziz berlanjutan selama 12 tahun sebelum jawatan Ketua Wanita UMNO dimenangi oleh Dato’ Dr. Siti Zaharah pada tahun 1996. Bagaimanapun, dalam pemilihan sayap parti pada tahun 2000, Rafidah Aziz telah kembali menjadi Ketua Wanita UMNO selama 9 tahun sebelum dicabar dan ditewaskan pula oleh Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti 227 undi.

Kemenangan Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO pada tahun 2009 berlaku selepas tsunami politik yang melanda negara pada Pilihanraya Umum Ke 12 dimana Barisan Nasional sekadar meraih majoriti mudah setelah kehilangan kuasa majoriti 2 per 3 dalam Parlimen dan kejatuhan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah ke tangan pembangkang.

Sebagai Ketua Wanita UMNO, Shahrizat mahu mengarusperdanakan pembabitan wanita dalam semua sektor termasuk politik, ekonomi dan sosial. Wanita mesti diletak sebagai institusi yang mempunyai peranan penting terhadap negara. Untuk memenuhi cita-cita ini, beliau telah menubuhkan sekretariat dan biro-biro yang meliputi pelbagai aspek politik, ekonomi, kebajikan dan keilmuan.

Shahrizat telah menggerakkan program Jalinan Rakyat bertujuan sebagai satu pendekatan baru bagi memperluaskan pengaruh dan perkhidmatan disamping menjalin hubungan yang lebih rapat dengan rakyat. Selain itu, Shahrizat telah menyahut cabaran dan permintaan Presiden Parti, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, supaya merakyatkan perjuangan UMNO dengan menyebarkan semangat perjuangan parti kepada seberapa ramai rakyat.

Atas semangat ini, Projek SAYANG telah dilancarkan. Ia merupakan jenama baru Wanita UMNO serta Wanita Barisan Nasional untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan, kesukarelawan dan kemasyarakatan sebagai menepati hasrat parti serta memenuhi keperluan rakyat di akar umbi. Melalui Projek Sayang, Skuad Sayang, Stor Sayang dan Jelajah Sayang telah digerakkan di setiap negeri.

Scroll To Top