DARI MEJA WANITA

Sambal hijau Awanie pikat selera ramai

image (3)

BAGI penggemar makanan pedas, sambal antara menu wajib yang dihidangkan bersama nasi panas, mahupun dimakan bersama roti, atau lempeng.

Bermula dengan sambal belacan, sambal merah dan sambal hitam, kini sambal hijau dilihat mula dikomersialkan

Menariknya, sambal hijau bukan sahaja boleh dimakan begitu sahaja, tetapi ia juga boleh dijadikan pes masakan, memudahkan golongan wanita menyediakan hidangan untuk keluarga.

Tidak mudah basi

Seorang pelajar, Muhammad Saiful Syaifuddin Md Jimi berkata, sifat sambal hijau yang tahan lama membuatkannya tertarik dengan makanan itu.

“Setiap kali hendak balik ke asrama, ibu akan membekalkan sambal hijau sebab ia tidak mudah basi dan boleh tahan sehingga seminggu jika tidak dimasukkan ke dalam peti ais.

“Walaupun bukanlah penggemar sambal hijau, tetapi jika sudah lama tidak makan, saya pasti akan minta tolong ibu untuk memasakkannya,” katanya.

Dia tidak menyangka sambal hijau menjadi semakin popular pada masa ini kerana ia menjadi makanannya sejak zaman sekolah lagi.

“Saya pernah nampak iklan peniaga jual sambal hijau dalam laman sosial Facebook sebelum ini, tetapi agak sukar untuk mendapatkannya di pasaran,” katanya.

Bangkit selera makan

Bagi pelajar, Mohd Aliif Farhan Zulkefly berkata, rasa sambal hijau yang pedas seperti sambal belacan meningkatkan selera makan terutamanya apabila hidangannya tidak berkuah.

“Saya gemar makan nasi putih kering dan lauk, bersama sambal hijau ketika makan tengah hari atau malam.

“Memang menjadi tradisi orang Melayu menyediakan sambal dalam hidangan mereka. Sambal ini bukan hanya digemari masyarakat Melayu, tetapi kawan saya yang berbangsa Cina juga sukakan sambal,” katanya.

Kebiasaannya, Mohd Aliif Farhan lebih gemar membuat sendiri sambal hijau kerana ia dapat memenuhi seleranya, berbanding jika membelinya di luar.

“Lagipun, setakat ini, tidak banyak lagi sambal hijau di pasaran. Kebanyakan produk sambal adalah sanbal belacan dan sambal merah,” katanya.

Namun, dia yakin, perniagaan sambal hijau mampu pergi lebih jauh jika pengeluaran dan pemasaran giat dijalankan.

“Ini kerana, penduduk Malaysia gemarkan sambal. Sekiranya pasaran sambal hijau diperluaskan, ia akan dapat menambah variasi sambal di negara ini, sekali gus memberi banyak pilihan kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, kerani, Ahmad Azam Azhar Anizam berkata, walaupun sambal hijau bukanlah makanan kegemarannya, namun dia mengakui akan memakannya setiap minggu.

“Pada saya, walaupun ia bukan hidangan wajib, tetapi kadang kala, saya rasa kita perlukan makanan yang pedas seperti sambal hijau sebagai pelengkap hidangan.

“Namun, agak sukar untuk mendapatkannya di pasaran walaupun permintaannya tinggi. Saya harap supaya sambal hijau dikomersialkan lebih meluas kerana permintaan ramai, selain kelainan rasanya, yang boleh membangkitkan selera makan,” katanya.

Sambutan luar jangkaan

Peniaga sambal hijau, Zeilawani Abu Naim berkata, dia tidak menyangka sambal hijau resipi daripada ibunya, menerusi jenama Sambel Ijo Awanie, menerima sambutan di luar jangkaan.

“Pada asalnya, saya tidak berniat untuk berniaga. Ketika itu, adik ipar saya menempah sambah hijau untuk jamuan di pejabatnya, pada November 2014. Kebetulan ada lebih, saya masukkan dalam bekas dan menjualnya menerusi laman sosial Facebook.

“Pada masa itu, hanya ada empat bekas saja yang ada dan semuanya habis terjual. Namun, saya tetap menerima mesej pelanggan yang mahukan sambal ini, jadi saya terus membuat dan menjualnya sehingga kini,” katanya.

Bermula dengan kuali kecil, dengan menghasilkan setengah kilogram (kg) sambal hijau, Zeilawani berkata, tempahannya semakin meningkat setiap hari.

“Pada awal perniagaan, sebanyak 20 bekas dijual dalam sehari, kini ia meningkat kepada 180 bekas sehari, yang kebanyakannya diborong oleh ejen.

“Untuk sambel ijo ini, saya sendiri yang masak, namun bahan mentah seperti bawang, saya upah orang untuk membuatnya,” katanya.

Zeilawani yang juga Pengurus Az Awanie Enterprise berkata, setakat ini, dia hanya menjual Sambel Ijo Awanie menerusi laman sosial Facebook dan 10 ejennya yang aktif di seluruh Malaysia serta Singapura.

“Saya tiada stokis sebab mahu memastikan pelanggan dapat sambal yang benar-benar segar,” katanya yang menjual sambal hijau antara RM10 hingga RM12 sebotol.

Sumber : SinarHarian Online

Scroll To Top