DARI MEJA WANITA

RUU khusus jaga warga emas akan dibentang

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun. – Foto NSTP/Zain Ahmed

 

KUALA LUMPUR: Satu undang-undang khusus untuk penjagaan warga emas di negara ini akan dibentangkan di Parlimen, tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata Rang Undang-Undang (RUU) Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta itu adalah antara inisiatif sebagai persiapan bagi Malaysia mencapai status negara tua menjelang tahun 2030.

“Setakat ini, tiada akta khusus bagi penjagaan warga emas di Malaysia.

“Sehubungan itu, RUU Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta akan dibentangkan bagi memastikan kualiti minimum penjagaan kesihatan warga emas dengan menetapkan piawaian jagaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang bertanya keberkesanan pelan tindakan pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) yang diluluskan pada tahun 2011.

Azizah berkata, Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 dengan jumlah warga emas seramai 5.8 juta orang atau 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Sumber : Berita Harian Online

Scroll To Top