DARI MEJA WANITA

Mensyukuri Nikmat Ramadhan Dalam Keharmonian – Shahrizat

JERAM 12 OGOS 2012 – Wanita UMNO Negeri Selangor hari ini melangsungkan Majlis Mahabah Ramadhan bertempat di Masjid Jamiul Ridhuan, Jeram, Kuala Selangor. Majlis yang turut dihadiri Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil ini telah berjaya merapatkan ukhuwah lebih 1000 orang wanita yang terdiri daripada ahli Wanita UMNO seluruh Selangor dan juga penduduk tempatan. Majlis ini dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha dan Tasbih yang kemudiannya diikuti dengan Majlis Khatam Al-Quran bersempena kejayaan menyempurnakan Tadarrus di seluruh bahagian parlimen dalam negeri Selangor.

Dalam majlis ini juga, Dato’ Sri Shahrizat telah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada lebih 120 orang penerima yang terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal. Lebih 2000 batang lemang yang telah dibakar secara gotong royong pada malam sebelumnya juga telah diedarkan kepada penduduk setempat.

Dato’ Sri Shahrizat ketika ditanya berkata rakyat di Malaysia harus bersyukur kerana negara ini telah dipimpin dengan baik oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mana telah membolehkan semua orang beribadat dengan selesa tanpa mengira agama. Beliau berkata lagi jika negara tidak membangun dan kacau bilau, sudah tentu rakyat tidak mampu membeli kelengkapan ibadat dan rumah ibadat seperti masjid juga tidak dapat dibina.

Majlis yang bermula pada pukul 8.00 pagi ini berlangsung kira-kira 4 jam.

Lagi gambar di Facebook Wanita UMNO Malaysia.

Scroll To Top