DARI MEJA WANITA

Pastikan Umno, BN menang PRU14: Idris

Pastikan Umno, BN menang PRU14: Idris

Idris merasmikan Persidangan Perwakilan Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda Dan Puteri Umno Jasin di Dewan Platinum Kolej Politeknik Jasin.
 

JASIN – Pengerusi Umno Negeri Melaka menyifatkan tiada parti lain boleh membela agama bangsa dan negara selain Umno.

Datuk Seri Idris Haron berkata, parti itu telah mengabdi diri pada watan, mengubah keadaan daripada kemunduran dan kemiskinan kepada cahaya kemajuan dan kemakmuran.

Menurutnya, Umno membela agama Islam sejak dahulu lagi dengan teratur.

“Apa yang berlaku di cawangan-cawangan dan bahagian Jasin ini bukannya datang bergolek. Secara polisinya ia ditetapkan oleh presiden dan ahli majlis kerja tertinggi,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda Dan Puteri Umno Jasin di Dewan Platinum Kolej Politeknik Jasin, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang.

Beliau berkata, setiap perwakilan harus memastikan Umno dan BN menang dalam PRU14.

“Kita berikrar untuk terus taat setia dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan presiden parti. Semangat bersatu hati dan tekad memerangi musuh negara dan parti sama ada dari dalam mahupun luar.

“Kalau kita lemah dan tidak bersatu, sudah tentu kita akan kalah.  Sebagai tuan di negara ini, orang Melayu perlu mempertahankan kedaulatan dibina sejak sekian lama dengan keperitan perjuangan patriot negara. Jika negara jatuh ke tangan yang salah, natijahnya pasti sangat besar,” katanya.

Idris berkata, loceng PRU14 akan berbunyi pada bila-bila masa sahaja, justeru jentera Umno terutamanya Wanita, Pemuda dan Puteri perlu sentiasa bersedia bagi mengukuhkan kekuatan parti.

“Sikap berpeluk tubuh tanpa melakukan sesuatu yang mampu mengukuhkan parti hendaklah dihapuskan.

“Justeru, mereka harus mendekati akar umbi, menjawab pelbagai isu nasional dan setempat tanpa mengira masa. Jika orang Melayu hilang kuasa, maka kita akan hilang segala-galanya.

“Apabila kita sudah tidak punya apa-apa,  kita juga sudah tidak ada negara dan masyarakat pada masa hadapan,” katanya.

 Sumber : Sinar Harian

Scroll To Top