DARI MEJA WANITA

Lambang solidariti berjaya

image

KUALA LUMPUR 18 April – Kerjasama dan persefahaman antara kepemimpinan tertinggi dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah lambang solidariti parti yang berjaya di­pimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau percaya pelbagai dakwaan dan tuduhan liar terhadap portfolio baharunya sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri timbul kerana pakatan pembangkang berasa tidak senang dengan perkara tersebut.

“Mungkin mereka tidak senang dengan pengumuman Ra­bu lalu kerana bimbang melihat kerjasama dan persefahaman antara barisan kepemimpinan tertinggi parti (BN dan UMNO) yang menggambarkan solidariti kami.“Seperti yang saya maklumkan semalam, tanggungjawab saya sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas ini adalah pengagihan tanggungjawab secara efisien oleh kerajaan Persekutuan, selain membantu Perdana Menteri memantau kese­lamatan di Sabah.

“Agihan tugas se­sama kepe­mimpinan amat mustahak kerana tidak mungkin kita boleh melakukan se­ga­lanya, tetapi gandingan melalui pemikiran dan strategi ini pen­ting kepada kerajaan dan negara,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Dewan Negara hari ini.

Jelas Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, fokusnya kini adalah keselamatan masyarakat Sabah dan operasi Kawasan Ke­selamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kerana ancaman daripada pengganas terutama kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina yang telah berbaiah untuk menyokong militan Daesh.

Katanya, atas se­bab itu peng­gemblengan tenaga antara Agensi Pe­nguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Ma­ri­tim Malaysia), polis dan Esscom yang dipimpin Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri serta Ketua Menteri Sabah, Da­tuk Seri Musa Aman penting untuk memastikan negara bersedia dalam menghadapi sebarang ancaman.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab, Hishammuddin turut menjawab soalan tambahan Se­nator Datuk Mohd. Salim Sharif @ Mohd. Sharif mengenai jumlah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani selepas penganjuran LIMA 2017.

Menurut beliau, keseluruhan kontrak telah ditandatangani berjumlah RM3.82 bilion merangkumi 11 kontrak bernilai RM2.46 bilion dan penyerahan tujuh surat setuju terima (LoA) bernilai RM737 juta serta lima surat niat (Lol) bernilai RM532 juta.

Katanya, 12 MoU perolehan, peralatan dan kelengkapan pertahanan bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut ditandatangani antara agensi kerajaan, syarikat tempatan dan antarabangsa, bernilai RM97 juta.

“Menerusi LIMA 2017 ini juga, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat penilaian terhadap aset seperti pesawat ATR 72MP iaitu pesawat Maritime Patrol Aircraft keluaran Leonardo Aircrafts.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula mengenal pasti keperluan aset seperti Multi Role Support Ship (MRSS) yang sesuai dengan pelaksanaan Program Transformasi Armada TLDM,” katanya.

 

Sumber: Utusan Online


Scroll To Top