DARI MEJA WANITA

Korea Utara Salahkan Malaysia

Malaysia North Korea

SEOUL – Korea Utara menyalahkan Malaysia semalam berhubung kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dan menuduh kerajaan Malaysia bersikap ‘tidak mesra’ menangani kes berkenaan.

Malaysia pada mulanya memaklumkan Korea Utara bahawa seorang individu yang membawa pasport diplomatik meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu, lapor agensi berita Pyongyang, KCNA.

KCNA yang memetik seorang jurucakap jawatankuasa negeri berkata, Malaysia kemudian me­ngubah pendirian dan mula merumitkan perkara itu selepas laporan di Korea Selatan mendakwa lelaki berkenaan diracun hingga mati.

KCNA dalam laporan pertama media rasmi tentang pembunuhan itu langsung tidak menamakan individu yang mening­gal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital atau mendedahkan beliau adalah abang tiri pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Sebaliknya lelaki itu hanya dirujuk sebagai seorang rakyat Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

“Tanggungjawab terbesar untuk kematiannya terletak pada kerajaan Malaysia kerana rakyat DPRK meninggal dunia di negaranya,” kata laporan tersebut.

Kelmarin, polis Malaysia menamakan seorang diplomat Korea Utara dan seorang kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara dikehendaki untuk disoal siasat berhubung pembunuhan Jong-nam.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kedua-dua pegawai tersebut masih berada di Malaysia, namun tidak dapat disahkan jika mereka berada di Kedutaan Korea Utara.

Setakat ini polis telah mengenal pasti sejumlah lapan warga Korea Utara yang disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

Malaysia juga menolak permintaan Korea Utara agar mayat Jong-nam diserahkan terus kepada kedutaannya dengan berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada ke­luarga terdekat, namun sehingga kini tiada seorang pun tampil ke hadapan.

KCNA turut menuduh Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa dengan melakukan bedah siasat ke atas seorang individu yang memegang pasport diplomatik.

 

Sumber – Reuters

Scroll To Top