DARI MEJA WANITA

Kajian semula bantuan JKM bukan untuk susahkan

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun,

Azizah

KUALA LUMPUR – Proses kajian semula bagi menyemak status penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bukan untuk menyusahkan golongan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, sebaliknya ia bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima bantuan.

“Menjadi hasrat kita untuk tidak menyusahkan, namun kita juga kena patuh kepada peraturan tertentu. Kalau kita tidak lakukan kajian semula tiga bulan sebelum tempoh habis bantuan setiap tahun, kemungkinan akan berlaku kes penerima bantuan meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan.

“Jadi, pembayaran dibuat secara berterusan dan akibatnya waris terpaksa bayar semula kepada kementerian. Ini perkara yang ingin kita elakkan, jadi kita perlu buat juga kajian semula,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) di sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Azizah, kajian semula juga membolehkan kementerian menyemak bantuan lain yang mungkin diperlukan penerima bantuan.

“Mana tahu penerima bantuan itu perlukan bantuan lain daripada JKM atau agensi lain untuk tambah pendapatan mereka.

“Kita juga perlukan kerjasama pemimpin di akar umbi dan NGO supaya mereka yang susah itu dipermudahkan urusan untuk dapat bantuan,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Bachok), Azizah berkata, seramai 40, 990 penerima ditamatkan bantuan JKM daripada 483, 637 penerima bantuan.

Katanya, sebab-sebab bantuan ditamatkan adalah peningkatan tahap sosio ekonomi dan boleh berdikari, penerima bantuan meninggal dunia serta penerima bantuan kini tinggal dengan anak yang mampu menanggung perbelanjaan keluarga.

“Manakala, bagi skim elaun pekerja cacat, OKU itu mendapat pendapatan melebihi RM1,200 sebulan. Bagi skim bantuan kanak-kanak, bantuan boleh ditamatkan jika anak-anak tanggungan melepasi umur 18 tahun,” katanya.

Scroll To Top