JURUCAKAP WILAYAH PERSEKUTUAN
Puan Seriwani binti Sabtu
Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa
Bismillahirrahmanirrahim
Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir li amri wahlul uqdatan min-lisani yaf-qohu qauli.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Perjuangan Dalam Kesetiaan.
SALUTASI.
SYUKUR / ALHAMDULLILAH
Alhamdulilah, merafak syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan izinNya dapatlah kita semua berkumpul pada hari ini bagi kelangsungan sebuah perjuangan yang tiada titik noktahnya memperkukuhkan perpaduan dan merencanakan masa depan Bangsa Melayu.
Kalau pergi ke Tanjung Keramat
Jangan lupa membeli tongkat
Bersama kita memohon rahmat
Agar perhimpunan ini mendapat berkat
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
Kita bersidang kali ini dengan keadaan yang sungguh berbeza. Berlaku perubahan besar dalam landskap politik tanahair. Bukan sahaja di dalam perkara-perkara yang melibatkan politik malah dari segi budaya dan ekonomi negara.
Pertemuan kita hari ini sebagai kemuncak manifestasi suara akar umbi Melayu: Kitalah Wanita, Kekanda, Adinda, Isteri dan ibu yang mahu melihat perjuangan bangsa diperkasakan, kesucian Agama dibela, kedaulatan pertiwi dipertahankan dan keutuhan parti UMNO sebagai satu gerakan pembela umat Melayu yang tiada galang gantinya ini diperkukuhkan dan diperteguhkan.
Sidang Perwakilan Yang DiRahmati Allah sekalian.
Pertemuan hari ini adalah satu proses yang perlu dilalui. Inilah titik awal untuk kita semua terus membawa obor perjuangan dan mengangkat suara keramat rakyat dari segenap ceruk desa dan kota, segenap lapisan warga untuk dijadikan suluhan, panduan dan sempadan dalam melayari bahtera perjuangan untuk meninggikan agama, memartabatkan bangsa, mendaulatkan nusa dan menobatkan siasah parti UMNO yang tercinta:
Bak Kata Pepatah Melayu:
Serumpun bak serai;
Sesusun bak sirih
Kata seiya kata sepakat;
Setuju sependerian, setuju sependapat
Kata dibulati kata bertepati;
Janji termeteri, kejayaan dinikmati.
Bukankah nenek moyang dan pejuang terdahulu kita semasa menuntut kemerdekaan telah menunjukkan bahawasanya hanya dengan bersatu dan muafakat kita mampu mengegarkan Kuasa Imperialisme terbesar : British , sehingga memungkinkan kita Merdeka dalam erti kata sebenar.
Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO sangat tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, UMNO memikul amanah besar untuk terus membela kesucian Agama, menjulang maruah Bangsa yang bermaruah dan merdeka jiwanya tanpa mengenepikan kaum-kaum yang lain.
KESETIAAN KEPADA PERJUANGAN UMNO
Sidang Perwakilan Dan Pemerhati Yang Saya Hormati.
Parti kita UMNO, telah mencapai usia 72 tahun.
Kita telah diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah masih memberikan kemenangan kepada UMNO sehinggalah kita tersungkur pada PRU ke 14.
Cabaran terhadap perjuangan kita masih terlalu hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita masih berduri. Kita bukan sahaja diancam dari luar namun kita juga diserang dari dalam, ramai pahlawan kita yang gugur sebelum berjuang.
Belum pun kita mampu untuk bangun kembali, ada panglima-panglima kita yang telah meninggalkan medan perang. Yang lagi menyedihkan, panglima-panglima ini yang kita angkat dan kita sanjung, sudahlah lari bertempiaran dari medan perang di saat-saat kita memerlukan mereka, dengan tiada persaan malu atau belas kasihan kepada kita yang ditinggalkan ini, mereka menempelak dan mencemuh parti ini.
Bertanya pula Mana arah tuju parti?? siapa sebenarnya tiada arah tujuan? Jangan jadi bacul. Jangan kerana takut dilambuk ombak, takut mati lemas terumbang ambing di lautan yang luas tidak bertepian dan tidak bertemu pohon untuk berpaut janganlah Parti ini disalahkan. Apa salah parti ini? Apa dosa UMNO? Yang telah memuliakan serta meninggikan darjat Wahai Pahlawan yang meninggalkan medan perang.
Ingatlah kata-kata Hamka
“Anak lelaki tidak boleh dihiraukan panjang. Hidupnya ialah untuk berjuang. Jikalau perahunya telah ia kayuh ketengah, Ia tidak boleh bersurut pulang, Meskipun bagaimana besar gelombang, Biarkan kemudi PATAH, Biarkan LAYAR ROBEK, Ia lebih mulia baginya dari pada membalik haluan pulang.”
Sidang Perwakilan Dan Pemerhati Yang Saya Hormati Sekelian.
Sejak tertubuhnya UMNO pada 11 Mei 1946, Parti Kebangsaan Melayu ini lahir dari semangat perjuangan kebangsaan menentang muslihat dan gagasan British untuk menghapuskan kedaulatan bangsa Melayu, Negeri Melayu dan Raja Melayu di tanah air ini.
Kita berjaya menumpaskan gagasan penjajah itu dan meneruskan kelangsungan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan hanya dengan bersenjatakan semangat cinta kepada bangsa, agama, budaya dan tanah air. Sumber kekuatan kita pada masa itu adalah “Bersatu hati dan Semangat Perpaduan”.
Atas kesedaran inilah, kita perlu mendepani segala cabaran dengan penuh istiqamah.
BERSATU, BERSETIA DAN BERKHIDMAT
Setialah kepada Parti. Dakaplah Roh perjuangan untuk kita terus membawa obor.
Jika bukan kita siapa lagi?
Kita semua, kita yang berada di dalam dewan ini.
Kitalah Wirawati Pejuang bangsa dan panglima yang akan bersama dalam satu perjuangan yang mekar sifatnya.
Kita semua adalah Tun Fatimah dan Sumayyah, yang cekal dan teguh sifatnya.
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
Dalam meniti arus perjuangan, adakalanya kita berada dalam keadaan selesa, adakalanya kita perlu berkorban untuk memastikan kelansungan parti kita yang kita cintai.
Setia adalah satu pengorbanan yang besar.
Inilah saat yang paling sukar sekali dalam parti kita. Kuasa sudah tidak dimiliki dalam kerajaan. Sudah tiada di dalam tangan. Namun kita akan harungi setiap cabaran yang mendatang secara bersama. Dengan setia dan bersatu kita mampu melakukannya.
Ingatkah kita kepada kisah-kisah nabi yang pernah diceritakan:
“Manakah yang lebih besar penderitaannya berbanding kita dan penderitaan Nabi Adam? Yang di dalam syurga bersenang-senang dengan isterinya, lalu diperintahkan agar meninggalkan syurga dan menetap di muka bumi.
Dan manakah yang lebih susah penderitaan kita berbanding penderitaan Nabi Nuh, yang menyeru umat kepada Islam, padahal anak dan isterinyanya sendiri tidak mahu mengikuti? Walaupun disuruh menyelamatkan diri naik ke bahtera, namun keluarganya ingkar dan karam dengan yang lain di dalam bah yang besar. Di hadapan matanya!
Pernahkah kita lihat cubaan serupa yang ditanggung Nabi Ibrahim? Disuruh menyembelih anak untuk diuji, dimanakah letak cintanya, kepada Allah atau kepada anaknya?
Tidak kurang pula dengan Nabi Daud dan Sulaiman dikenakan dengan pelbagai fitnah.
Pernahkah mereka mengeluh?
TIDAK, kerana mereka yakin bahawa kepercayaan kepada Allah mengkehendaki perjuangan dan Keteguhan serta Kesetiaan. Begitulah kisah-kisah yang boleh dijadikan pedoman, dijadikan panduan, dijadikan azimat untuk kita semua. Meneruskan perjuangan, teguh dan setia bersama Parti keramat kita UMNO.
Hamka pernah berkata:
Jangan takut jatuh,
kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh.
Jangan takut gagal,
kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah langkah.
Jangan takut salah,
kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah kedua.
Marilah terus istiqamah dan setia dalam perjuangan.
WANITA MENGHAYATI ERTI ROH PERJUANGAN
Sidang Perwakilan Dan Pemerhati Yang Saya Hormati Sekelian.
Disini peri pentingnya untuk kita terus Bersatu di bawah Panji UMNO.
Mengungkap kata kata keramat melalui Ucapan Dato’ Onn Jaafar di Kongres Melayu se-Tanah Melayu yang pertama pada Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur:
“Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha.
Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang menghadap merbahaya dengan bersatu hati.
Dengan bersatu itu sahaja akan dapat kita menghadap masa yang akan datang dengan harapan akan jaya cita-cita kita itu.”
Itulah antara kata-kata Keramat Dato Onn Jaafar iaitu Pengasas UMNO.
Sesungguhnya bagi memastikan kelansungan dan survival UMNO dan Orang Melayu ; Jawapannya ialah, kita mesti meniupkan terus roh perjuangan untuk bangsa kita dan terus bersatu.
Marilah kita Wanita, terus berdiri teguh di belakang Presiden serta kepimpinan tertinggi Parti, marilah kita bersama-sama mempertahankan Parti UMNO parti Keramat ini, yang telah sekian lama menjadi pembela ummah, yang telah mengharungi pelbagai badai gelora bersama namun tetap tidak berganjak dari prinsip asas perjuangan, yang kekal bersama-sama dalam keadaan susah dan senang, yang bekerja keras untuk membangunkan negara, tanpa perlu menabur janji-janji palsu semata-mata untuk menjadi Kerajaan di bumi yang tercinta ini.
Jangan biarkan Presiden kita keseorangan, jangan biarkan Ketua Wanita kita bersendirian, sama-salah kita ambil tanggungjawab.
Kita pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan sekali kali kita lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sesekali mengkhianati perjuangan kita ini.
Dengan kekuatan yang ada, dengan Roh perjuangan yang terus tersemat, dengan Bersatu Kita mampu mengangkat martabat dan memuliakan bangsa kita,
Kita akan pastikan kita akan terus Kuat, malah kita mampu merampas kembali apa yang pernah kita miliki.
PENUTUP
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian ;
Jangan biarkan pihak lawan terus menghina perjuangan parti kita. Menginjak-injak parti kita, bangsa kita dan paling kita takuti mencabuli agama Islam. Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan lagi.
Pergi ke kedai membeli kasa
Baik disimpan sebelum dicuri
Jadilah Wanita pembela bangsa
Walaupun penuh onak dan duri
Redup bintang haripun subuh,
Subuh tiba bintang tak Nampak,
Hidup ini pantang mencari musuh,
Musuh tiba, Wanita tak berganjak.
Memetik kata-kata bijak dan tokoh tersohor dan lagenda Sun Tzu yang merupakan penulis sebuah buku strategi terkenal iaitu : The Art of War.
Antara intipati kata-katanya :
“Kenalilah musuh anda, Kenalilah diri anda sendiri. Dengan demikian, anda tidak perlu takut dengan hasil seratus pertempuran sekalipun.”
‘Anda akan menang jika seluruh pasukan anda di berbagai lapisan memiliki semangat juang yang sama’
‘Ingatlah jika anda mengenal musuh dan mengenal diri sendiri, tidak diragukan lagi anda akan menang; namun jika anda memahami ‘langit dan anda memahami bumi, anda akan membuat kemenangan anda semakin lengkap.
Medan perang di hadapan kita. Kita tiada banyak pilihan. Maralah ke hadapan dengan semangat kental Tariq bin Ziyad, panglima muda yang menakluki Andalusia. Dengan semangat cekal yang tabah walaupun dengan bilangan tentera yang sedikit tapi mampu mengubah dan beroleh kemenangan.
Maka kita, pemimpin-pemimpin waktu ini disetiap peringkat harus mempertahankan dengan segala daya usaha dan strategi kita untuk hak-hak anak cucu kita sehingga mereka membesar.
Kesinambungannya, kita juga mestilah menanamkan perasaan cintakan bangsa, agama dan negara, agar mereka juga akan dapat mempertahankannya untuk anak cucu mereka.
Ayuh kita teruskan, Ayuh kita gagahi, Ayuh kita berani mendepani cabaran dan terus setia kekal dalam kesepakatan demi anak bangsa dan tanahair tercinta.
Hidup Wanita! Hidup UMNO! Hidup Melayu! Allahuakhbar!
Sekian terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah Wasalamualaikum
Warahmatullahiwabarakatuh.