DARI MEJA WANITA

Jangan ‘bakar’ rumah UMNO – Najib

image

KOTA TINGGI 14 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ahli UMNO supaya tidak melakukan tindak-tanduk yang boleh ‘membakar’ UMNO, kerana parti itu disifatkan sebagai rumah untuk orang Melayu bernaung dan berteduh.

Perdana Menteri menegaskan, ahli UMNO wajib mempertahankan parti keramat itu untuk memastikan perjuangannya dapat diteruskan demi kepentingan orang Melayu, agama dan negara.

“Kalau bakar rumah UMNO, di mana kita hendak cari tempat untuk berteduh? Kalau UMNO tersungkur, di mana orang Me­layu hendak berteduh, maknanya kalau parti UMNO mati, kalau rumah UMNO ini dibinasakan, mana kita hendak bernaung, tidak ada jawapannya.

“Sebab itu, dalam parti kita mesti berjiwa besar. Saya sebagai Presiden parti pun berjiwa besar. Dalam perhimpunan agung UMNO sebelum ini untuk ambil sikap berjiwa besar, saya hulurkan tangan perdamaian, tangan perpaduan, tetapi ia tidak di­sambut,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dataran Sedili Besar dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Besar dan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahman. Najib berkata, sebaliknya terdapat pemimpin yang memilih haluan berbeza dengan menubuhkan parti baharu untuk kelangsungan perjuangan politik mereka. “Mungkin jalan itu (menubuhkan parti baharu) tersasar, mungkin jalan itu tidak kena, hanya masa akan memberikan jawapannya, tetapi amat jelas hari ini, jalan itu (yang mereka pilih) adalah amat bertentangan dengan wadah perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau mengingatkan ahli UMNO supaya tidak lupa asal-usul parti keramat tersebut yang lahir daripada satu gagasan mulia, selain menyatupadukan orang Melayu untuk meneruskan perjuangannya bagi memartabatkan bangsa, agama dan negara. “Roh perjuangan kita lahir di pekarangan tangga Istana Besar Johor Bahru, bukan calang-calang tempat, kerana kita meniupkan roh semangat perjuangan hendak menyatupadukan orang Melayu, hendak meneruskan perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara. “Sebab itu, kalau kita hendak bawa parti baharu, nama parti Pribumi Bersatu Malaysia dan parti tu pula hendak bekerjasama dengan DAP, maka di mana letaknya perjuangan peribumi, sedangkan DAP sendiri tidak pernah sokong perjuangan atas nama pribumi dan hak Melayu.

“Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) semasa dalam UMNO telah menyelar mereka (DAP) sebagai parti anti-Islam, anti-Melayu, cauvinis. Ayat itu keluar daripada mulut mereka sendiri sewaktu mereka dalam UMNO. Maka jelaslah bahawa hari ini mereka cakap lain,” katanya. Najib turut mempersoalkan pendirian pemimpin berkenaan untuk menegakkan syiar Islam dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu seperti yang termaktub dalam Peruntukan 153 Perlembagaan negara. Namun, beliau yakin ahli UMNO terutamanya di negeri ini akan meningkatkan usaha untuk menaikkan semangat agar Johor kekal sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

- Utusan Online

Scroll To Top