DARI MEJA WANITA

Fatihah Frozen Food semakin dikenali ramai

FATIHAH bersama anak-anaknya, Hamizah (kanan) dan Hazirah ketika berbincang mengenai perancangan syarikat milik mereka.

FATIHAH bersama anak-anaknya, Hamizah (kanan) dan Hazirah ketika berbincang mengenai perancangan syarikat milik mereka.

 

MAKANAN sejuk beku atau frozen food semakin banyak diusahakan secara komersial.

Mengekalkan keenakan, rupa bentuk dan saiz seperti asal, produk itu mendapat perhatian ramai terutamanya suri rumah yang tidak berkesempatan untuk membuatnya sendiri.

Situasi itu telah menaikkan nama Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd., sebagai sebuah syarikat pengeluar produk sejuk beku terkemuka negara.

Bermula dengan hanya karipap pusar, syarikat itu kini mengeluarkan hingga 18 jenis makanan sejuk beku seperti paratha, roti boom, samosa, cucur badak, martabak mini, gulungan sardin, popia, cakoi, aiskrim goreng dan yang terbaharu mantou (roti bantal).

Kini, Fatihah Anis Ibrahim, 55, boleh berbangga kerana usaha gigihnya selama lebih 30 tahun untuk membina jenama Fatihah Frozen Food sudah menempa kejayaan membanggakan walaupun melalui pelbagai rintangan dan cabaran.

Ia bukan saja mampu menguasai pasaran tempatan tetapi semakin diterima di China, Vietnam, Brunei, Singapura dan New Zealand.

Menurut Fatihah yang merupakan Pengarah Urusan Fatihah Frozen Food, usahawan tidak boleh menarik nafas lega atau cepat berpuas hati apabila perniagaan berjalan lancar mahupun mudah berputus asa apabila berhadapan dengan dugaan.

Katanya, kegagalan dalam perniagaan adalah satu pengalaman pahit bagi seorang usahawan, namun semua itu dapat diatasi berkat keyakinan dan sokongan pelanggan yang masih mahukan produk Fatihah Frozen Food.

“Prinsip saya mudah, keuntungan sedikit tidak mengapa asalkan pelanggan berpuas hati.

“Malah, saya yakin kami boleh bertahan sehingga ke hari ini kerana keenakan rasa produk kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar), Batu Caves, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya lagi, tanpa hati yang kental dan ketabahan, syarikat pengeluaran makanan sejuk beku itu mungkin sudah tidak wujud lagi.

Ini kerana bukan sekali tetapi dalam tempoh 30 tahun itu, dia beberapa kali mengalami kejatuhan. Begitupun setiap kali jatuh, dia mampu bangun dan terus mengorak langkah ke hadapan.

“Saya memulakan perniagaan karipap pusar sejak masih bersekolah di tingkatan lima di Kota Bharu, Kelantan.

“Ketika itu saya hanya membuat dalam kuantiti antara satu hingga dua kilogram tepung. Karipap itu saya letak di gerai makan sekitar kampung.

“Sebenarnya, saya berniaga bukan kerana kesempitan hidup. Ini kerana ibu bapa saya bekerja dan kehidupan kami agak selesa. Sebaliknya, minat berniaga itu datang sendiri dan semakin berkembang selepas melihat hasil jualan sangat menguntungkan.

“Malah, selepas berkahwin dan mengikut suami bertugas di Britain, saya teruskan minat dengan berniaga karipap, martabak mini, nasi lemak dan kuih-muih,” katanya.

Apabila pulang ke Malaysia, dia semakin ligat berniaga dengan mengeluarkan pelbagai makanan sejuk beku atas jenama Fatihah. Ia bukan saja semakin dikenali di seluruh Malaysia tetapi cukup popular di Brunei.

Dugaan besar

Namun, ketika Fatihah sedang mendaki ke puncak, dia menerima dugaan besar apabila berpisah dengan suami.

Begitupun, wanita tabah itu reda dan meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak.

Dalam pada itu, Fatihah Frozen Food turut mempunyai sijil Amalan Pengilangan Yang Baik dan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Produk syarikat itu juga tersenarai sebagai produk yang menerima pengiktirafan 1Malaysia Best daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Katanya, kejayaan Fatihah Frozen Food turut dicapai dengan pelbagai bantuan daripada agensi kerajaan dalam memberikan pinjaman dari segi pembiayaan, dana dan geran.

“Saya sangat berterima kasih kepada Mara, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, MOA, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Sirim Bhd., Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan SME Corporation Malaysia yang banyak membantu perniagaan saya untuk terus berkembang,” katanya.

Mengulas tentang pengeluaran produknya, Fatihah berkata, syarikat itu mampu mengeluarkan sehingga 3,000 biji kuih dalam tempoh sejam menggunakan kaedah separuh automatik.

Selain itu, antara produk yang paling laris ialah roti boom dan paratha .

Fatihah Frozen Food juga bakal memperkenalkan produk-produk baharu selari dengan permintaan para pelanggan.

Artikel Penuh: Kosmo

Scroll To Top