DARI MEJA WANITA

Bazar Wanita: Peniaga Perlu Lebih Kreatif

IPOH:Para peniaga wanita disaran untuk mempelbagaikan produk serta lebih kreatif mempamerkan reka bentuk produk yang dijual oleh mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,Datuk Rusnah Kassim berkata langkah inovasi itu perlu supaya peniaga tampil dengan identiti kreatif dan tersendiri.

“Kita mahu produk tersebut ada kelainannya tersendiri dan bazar wanita atau ladies lane ini akan terkenal dengan produk yang berbeza dan kreatif serta berbeza dari pasar harian biasa,” katanya selepas merasmikan Bazar Wanita yang ketiga di negeri ini bertempat di UTC Ipoh.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri merancang untuk memperbanyakkan jumlah bazar wanita dan ladies lane di negeri ini dalam usaha untuk membantu para peniaga khususnya golongan wanita.

“Akan ada banyak lagi bazar wanita yang akan dibuka iaitu di Tapah dan Majung, kita telah beri mereka kemudahan, ilmu dan bantuan peralatan tetapi tiada tempat untuk berniaga jadi ruang seperti bazar wanita boleh digunakan para peniaga menjual produk masing-masing,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 40 peniaga mendapat manfaat daripada penganjuran ladies lane bertempat di Pasar Karat/ Lokin yang beroperasi setiap hari Ahad.

Sementara itu, tegas Rusnah lagi, peluang perniagaan tersebut terbuka kepada semua kaum dan tidak hanya kepada bumiputera sahaja.

“Paling menarik mereka tidak mengeluarkan modal bagi menyediakan khemah dan meja berniaga yang disediakan semuanya oleh pihak Kerajaan dan peniaga hanya perlu tampil membawa produk masing-masing sahaja.

“Kita buka peluang ini kepada semua, tetapi bagi ladies lane peniaga wanita Cina dilihat sudah mempunyai ruang tersendiri dan apabila ditawarkan sambutannya berkurangan begitu juga masyarakat India sambutan masih berkurangan berkemungkinan mereka masih belumn jelas lagi,” katanya.

Terdahulu,seramai 12 peniaga diberi peluang menjual pelbagai produk di Bazar wanita@UTC Ipoh kali ini yang dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap minggu keempat pada setiap bulan.

Sumber : Perak Today

Scroll To Top