DARI MEJA WANITA

Bantal hiasan pengganti hadiah

image (6)

UMUMNYA, jika bercakap mengenai bantal, semua sedia maklum yang bantal kegunaannya hanya untuk menjadi alas kepala ketika tidur atau baring.

Namun dengan perkembangan semasa, bantal yang sering menjadi alas kepala telah mula mendapat sentuhan lebih menarik dan digunakan sebagai satu produk pelbagai kegunaan.

Antaranya boleh dijadikan  sebagai hadiah atau perhiasan bagi penggemar barangan unik.

Cantik, menarik, berwarna-warni serta comel menjadi sebab utama pembeli memilih bantal ini sebagai pilihan mereka untuk dijadikan hadiah dan hiasan.

Secara tidak langsung menjadi pengganti kepada pemberian hadiah yang biasa dilakukan sebelum ini.

Rekaan ikut cita rasa

Intan Nazatul Nadiah Roslan, 22, berkata, disebabkan mahukan kelainan pada hadiah yang mahu diberikan kepada teman pada majlis istimewanya telah membawanya bertemu seorang pembuat bantal hiasan.

“Saya tertarik dengan rekaan bantal hiasan yang ditunjukkan pada saya di internet dan rakan-rakan sebelum ini, bantal itu penuh warna-warni dan sangat unik.

“Pelanggan boleh memilih sendiri corak dan perkataan apa yang mahu diletakkan di bantal tersebut mengikut cita rasa masing-masing termasuk pilihan warna pada dekorasinya,” katanya.

Tambahnya, oleh kerana dia mengenali si pembuat bantal hiasan itu, ada kalanya dia memberikan idea untuk rekaan bantal itu sebelum diserahkan kepada pelanggan lain.

“Saya juga ada tolong promosikan bantal itu kepada rakan-rakan, dan Alhamdulillah semakin mendapat sambutan,” katanya.

Sementara itu, Nor Suliana Mohd Ibrahim, 28, berkata, terpikat dengan keunikan bantal hiasan itu menyebabkannya membuat tempahan untuk diletakkan di kedai makannya.

“Suami yang meminta  bantal hiasan itu mengikut warna kedai makan kami dan ramai pelanggan bertanya mengenai bantal hiasan itu dan berminat untuk mendapatkannya.

“Harga yang berpatutan juga penyebab saya memilihnya kerana ia buatan tangan, jadi kemas dan memuaskan hati,” katanya.

Bagi Farahanis Iryani Ahmad Nasuha, 22, pula, dia sudah tiga kali membuat tempahan bantal hiasan itu sebagai hadiah untuk diberikan kepada rakan yang bertunang serta berkahwin.

“Jika dibandingkan hadiah lain seperti kek, harganya lebih mahal, kek juga akan habis begitu sahaja apabila dimakan.

“Berbeza dengan bantal hiasan ini, ia menarik dan comel serta mudah untuk penerima mengingati siapa pemberinya dan boleh disimpan dalam tempoh yang lama sebagai hiasan,” katanya.

Tawar pilihan tiga jenis bantal hiasan

Melihat perkembangan dan permintaan bantal hiasan ini terutamanya untuk dijadikan sebagai hadiah bagi sebarang majlis, memberikan idea kepada Ainul Basirah Mohamad Ishak  menghasilkan bantal hiasan yang menarik dan kreatif sebagai hadiah dan perhiasan.

Menurutnya, idea menghasilkan bantal tersebut diperoleh daripada rakan dan pencarian melalui internet, dua tahun lalu.

“Mula-mula dahulu saya menghasilkan pin tudung dan penanda buku sahaja menggunakan kain (felt dan flanel). Tetapi bermula awal tahun lalu, saya cuba pula meluaskan skop pembuatan kepada bantal hiasan.

“Alhamdulillah sejak mula dihebahkan serta dibantu kakak ipar, lebih kurang 100 biji bantal hiasan berjaya saya hasilkan dan jual kepada pelanggan,” ujarnya.

Pada peringkat awal ini, katanya, dia menghasilkan tiga pilihan bantal hiasan kepada pelanggannya, di mana tiga pilihan itu paling mendapat sambutan dan menarik untuk dimiliki.

“Saiz empat segi besar berharga RM35, saiz kecil empat segi RM15 dan bantal hiasan bentuk hati RM20.

“Alhamdulillah harga tersebut diterima pelanggan dan kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan bantal yang mereka terima,” katanya yang menghasilkan bantal itu di kediaman ibunya di Hutan Melintang, Perak.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik ini, kelebihan menghasilkan bantal itu perlu merangkumi aspek kekemasan, cantik, meriah, comel dan ketepatan masa.

“Masa untuk disiapkan itu memang sangat penting kerana tidak mahu pelanggan merungut dengan perkhidmatan saya, jadi selalunya saya akan siapkan mengikut masa ditetapkan, tetapi tetap juga mementingkan kualitinya,” katanya.

Ainul Basirah berkata, menjadi sedikit halangan untuk menerima banyak tempahan ketika ini kerana masalah pembekal.

“Pembekal kain felt atau flanel yang berurusan, ada ketikanya tidak dapat menyediakan kain secukupnya kepada pembeli.

“Jadi ia merisaukan saya sekiranya ada pelanggan tempah bantal tetapi kain yang dikehendaki tiada stok. Saya sedang mencari lagi pembekal lain yang boleh menerima banyak tempahan,” katanya

Sumber : Sinar Harian

Scroll To Top