DARI MEJA WANITA

‘Ambo saye Kelate’

Najib kelantan

 

KOTA BHARU 16 April – ‘Ambo saye Kelate’. (Saya sayang Kelantan.) Kata-kata itu diungkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di hadapan lebih 15,000 penduduk pada Maj­lis Pecah Tanah Hospital Bachok di sini bulan lalu. Ungkapan tersebut jelas me­n­­­­gam­barkan betapa ikhlas dan ka­sihnya Najib pada rakyat Kelantan apabila negeri yang dikuasai pembangkang sejak 27 tahun lalu itu sering mendapat perhatian beliau dengan pelbagai bentuk pembangunan dibawa masuk ke sini. Rakyat negeri ini sudah pasti­nya beruntung apabila menikmati satu demi satu pembangunan terutama pada zaman pemerintahan Najib ketika ini.

Buktinya, Kelantan menerima peruntukan yang disifatkan cukup tinggi sehingga mencecah RM12.11 bilion dalam Ranca­ngan Malaysia Ke-11 (RMK-11), iaitu pe­­­­ningkatan ketara berban­ding RM2.37 bilion dalam RMK-8, RM6.9 bilion ­(RMK-9) dan RM5.6 bilion (RMK-10). Pelbagai projek mega dapat di­­­saksikan di negeri ini seperti lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai yang mencecah RM1.8 bilion, Hospital Kuala Krai bernilai lebih RM300 juta, Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kota Bharu (RM37.8 juta) dan terbaharu, Hospital Bachok (RM140 juta) serta tambahan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 16 kilometer dari Wakaf Bharu sehingga ke Pengkalan Kubor.

Kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan bertambah erat untuk memba­ngunkan semula negeri ini yang dilanda banjir besar pada penghujung 2014. Kesungguhan Najib membantu membangunkan di negeri ini juga diakui oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO itu. Seterusnya, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas itu berharap kerjasama erat antara kerajaan Pas Kelantan dan Kerajaan Pusat dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat. “Kerajaan di bawah Najib te­lah banyak membantu termasuk de­ngan usahanya mewujudkan UTC di negeri ini,” akui Ahmad ketika berucap pada majlis perasmian UTC Kota Bharu baru-baru ini. Selain itu, Najib juga dilihat berjaya membawa tranformasi baharu dalam hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan apabila terus menjalinkan kerjasama erat demi kepentingan rakyat di negeri ini meskipun kedua-dua pihak mempunyai ideologi politik berbeza.

Kedua-dua pihak telah mengenepikan fahaman politik masing-masing apabila sering kali ‘duduk semeja’ dan bekerjasama dalam pelbagai perkara melibatkan kebajikan rakyat khususnya ketika Kelantan dilanda musibah bah kuning dan kesepaduan mereka untuk melihat Mahkamah Syariah diperkasakan menerusi pindaan RUU 355. Bak kata Najib dalam nada ber­­seloroh ketika berucap pada majlis perasmian UTC di hadapan ribuan rakyat termasuk pemimpin-­pe­mimpin Pas, “kalau di atas pentas janganlah dengan orang lain.” Meskipun berseloroh, namun maknanya dilihat cukup mendalam. Najib seolah-olah mahu Pas tidak lagi berada sepentas dengan parti-parti pembangkang lain khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta PKR sebaliknya terus bersama-sama UMNO ke arah membentuk semangat perpaduan kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu. Seluruh rakyat amat berharap kedua-dua parti ini akhirnya dapat bersatu serta mengenepikan perbezaan demi kepentingan ummah, Melayu dan Islam. Mukadimah Kelantan agak ketinggalan dalam aspek pembangunan sejak 27 tahun lalu.

Namun sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), limpahan projek mega telah dibawa masuk terutama ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak. Antara projek mega yang dilaksanakan ialah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Pusat Transformasi Bandar (UTC); Kolej Matrikulasi Kok Lanas; pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Malah dalam RMK-11, Kelantan menerima peruntukan sebanyak RM12 bilion untuk pembangunan dan merupakan yang tertinggi dalam sejarah. Justeru, wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, ZAAIN ZIN dan TOREK SULONG mendapatkan reaksi daripada pemimpin serta rakyat negeri ini mengenai langkah Najib yang membawa pelbagai pembangunan dan tidak mendera rakyat negeri ini biarpun memilih Pas memerintah Kelantan.

Sumber : Utusan Online

Scroll To Top