DARI MEJA WANITA

5. Tan Sri Aishah Ghani

Ketua Pergerakan Wanita UMNO 1972–1984

Siapa tidak kenal dengan Tan Sri Aishah Ghani, wanita pertama Malaysia yang dilantik menjadi Senator dan wanita kedua di Malaysia yang menjawat jawatan Menteri selepas negara mencapai kemerdekaan.

Beliau masih bergiat cergas dalam parti sebagai mata dan telinga UMNO. Kerana sumbangan kepada jawatan yang disandang. Sebenarnya sejak dari kecil beliau hanya mempunyai cita-cita untuk menjadi wartawan dan penulis yang baik. Bagaimanapun beliau bersyukur kerana tuhan telah memberikan peluang untuk merasai pelbagai rupa cara hidup.

[pullquote_left]SAYA bergiat di peringkat bawah sejak tahun 1949 dan bergerak cergas di peringkat kebangsaan bersama UMNO selama 44 tahun, sejak tahun 1960 hingga 2004. Saya sudah memberikan yang terbaik[/pullquote_left]Jadi penglibatannya dalam dua bidang yang diminati iaitu wartawan dan ahli politik bukan sesuatu yang sia-sia pada akhirnya.

Sungguhpun tidak pernah bercita-cita hendak menjadi itu dan ini, tetapi ternyata cita-cita dan minat beliau itu telah meletakkan beliau di puncak kepimpinan dan kejayaan yang sewajarnya!

Bila ditanya kepada ahli politik “kenapa tertarik terjun ke gelanggang politik” biasanya jawapan standard diberikan, iaitu ingin melihat kebangkitan semangat bangsanya.

Tetapi berlainan dengan Aishah Ghani yang semangat politiknya mula berkobar-kobar di jiwanya ketika masih menuntut di Sekolah Arab Diniah Puteri, Sumatera, Indonesia selama empat tahun dan kemudian menyambung pelajarannya di Kolej Islam Kelang.

Kembali ke tanah air pada tahun 1943, Aishah merasa betapa pahitnya penindasan Jepun yang ketika itu berkuasa di Malaya.

Daripada penindasan yang tidak terderitai inilah lahir keinginan mahukan kebebasan di setiap jiwa orang Melayu yang tidak tahan lagi hidup di bawah cengkaman penjajah. Kerana itu, apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada akhir tahun 1945, Aishah turut menyertainya.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya diketuai oleh Doktor Burhanuddin dengan anggota-anggota jawatankuasa terdiri daripada Dr. Ishak Muhamad, Ahmad Bustamam, Saleh Daud, Dahari Ali, Taha Kalu dan Rahman Rahim. Parti Kebangsaan Melayu Malaya sebenarnya mempunyai dua sayap.

Bahagian pemudanya dipanggil Angkatan Pemuda Insaf (API) dan bahagian pemudinya dipanggil Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Ketokohan Aishah memikat hati kepimpinan PKMM dan akhirnya dilantik sebagai ahli Jawatankuasa dan Ketua AWAS. Aishah merupakan Ketua AWAS yang pertama sebelum Shamsiah Fakih.[pullquote_right]Sebenarnya politik bukanlah sesuatuyang susah. Cuma ia berkehendakkan ketabahan hati, kejujuran, semangat rela berkorban dan pengetahuan tentang politik serta minat! Kalau ada pengetahuan pun tapi jika tidak ada minat, tidak ada gunanya juga[/pullquote_right]

Aishah pernah menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya ke perhimpunan yang disertai semua pertubuhan di Kelab Sultan Sulaiman kerana membincangkan gerakan kemerdekaan.

Bagaimanapun Aishah tidak lama dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Beliau meletak jawatan pada tahun 1946, kerana berkahwin dan dalam tempoh yang sama beliau pun mendapat kerja sebagai kakitangan kerajaan iaitu menjadi juruhebah wanita yang pertama di Radio Malaya Lumpur yang ketika itu baharu sahaja dibuka.

Semasa berkhidmat sebagai juruhebah radio, seringkali beliau menyelitkan semagat perjuangan dalam hebahannya. Karier politik Aishah kembali aktif bermula di cawangan UMNO Pasar Pudu. Beliau yang mula menyertai UMNO Kampung Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1949 yang ketika itu diketuai oleh Yah Shaari serta lain-lain ahli jawatankuasa termasuk Mahabi Abdullah serta Encum Kainuddin.
Dari situ, mulalah beliau bergiat dengan mengambil bahagian dalam pertunjukan amal dan lain-lain kutipan derma.

Pada tahun 1950, Aishah terpilih menjadi wakil tetap Kaum Ibu UMNO di persidangan Agong UMNO Malaya Pulau Pinang.

Sejak dari tarikh tersebut beliau terus menjadi wakil tetap Kaum Ibu hinggalah ke tahun 1954. Kerana cinta pada bidang kewartawanan dan politik, beliau menyambung semula pelajaran ke England pada April 1955.

Sungguhpun beliau berada di luar negara dan sepatutnya sentiasa sibuk dengan pelajaran yang dihadapi, namun Aishah tidak kurang juga menjalankan kegiatan-kegiatan persatuan dengan menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Melayu (Malay Society) di United Kingdom.

Dalam kursus beliau di England itu, Aishah berkesempatan mendalami soal-soal politik kerana kerap menghadiri kursus-kursus politik anjuran Parti Buruh dan Parti Konservetif di samping menumpukan masa terhadap kursus kewartawanannya.

Apabila pulang ke Malaya pada tahun 1959, beliau kembali cergas dalam UMNO bahagian Kuala Lumpur di samping bekerja dalam Kumpulan akhbar Straits Times.

Setahun kemudian (1960), beliau dipilih menjadi Naib Pergerakan Kaum Ibu UMNO Malaya dan pada tahun 1962 Aishah menjadi Senator wanita pertama negara ini apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Berikutan itu beliau berhenti dari kerjaya wartawan pada September 1962. Beliau sekali lagi dilantik menjadi ahli Dewan Negara pada tahun 1968.

Ketika timbul cadangan menukarkan nama Kaum Ibu kepada Wanita UMNO pada tahun 1946, beliau antara segelintir yang menyokongnya tetapi kerana sebahagian besar ahli tidak setuju, ia dibatalkan. Nama itu akhirnya ditukar juga apabila UMNO meminda perlembagaaannya pada tahun 1971.

Selepas 12 tahun dipilih memegang jawatan Naib Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO , pada tahun 1972, dalam mesyuarat perwakilan Wanita UMNO, beliau dipilih menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.
Bintang Aishah terus menerus digilap pada Mac 1973, apabila dilantik menjadi Menteri Kebajikan Am Malaysia menggantikan tempat Tun Fatimah Hashim.

Beliau bertahan dalam kabinet, selama 11 tahun sebelum menamatkan kariernya sebagai menteri pada tahun 1984.

Semasa beliau menjadi Menteri Kebajikan Am, beliau banyak memperjuangkan hak-hak kaum wanita. Antaranya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan politik.

Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh kaum wanita dibawah pimpinannya. Sebelum menjadi Ketua Wanita lagi beliau telah menerajui Yayasan Dermawani yang bertujuan membolehkan pergerakan menyertai kegiatan ekonomi.

Scroll To Top